
Ketuanya Megat Zulkarnain Omardin bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah DUN itu namun hasrat berkenaan telah disampaikan kepada Presiden Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita akan maklumkan kerusi sudah dipersetujui Umno untuk dibawa serta diputuskan di peringkat BN pula,” katanya menurut Berita Harian.
Megat Zulkarnain berkata, selepas perbincangan antara komponen BN selesai, pihaknya akan berbincang pula dengan PH untuk memuktamadkan agihan kerusi bagi berdepan PRN dijangka Jun depan.
Media sebelum ini melaporkan PKR Selangor tidak berhasrat melepaskan kerusi DUN dimenangi kepada “rakan baharunya”, BN termasuk Sungai Kandis yang dilaporkan diintai Tengku Zafrul Aziz untuk bertanding pada PRN akan datang.
Pengarah pilihan rayanya, Yahya Sahri dipetik berkata pendirian itu sudah dinyatakan dalam perbincangan tidak rasmi antara PH dengan BN berhubung soal pengagihan kerusi di Selangor.
Menurutnya, tiada pertikaian di 40 kerusi DUN dimenangi PH dan lima kerusi oleh BN pada PRU14, namun fokus perbincangan agihan kerusi ketika ini tertumpu kepada kerusi disandang parti lawan.
Pada 11 Jan, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang juga pengerusi PH Selangor berkata bentuk kerjasama antara PH dan BN menjelang PRN diharap dapat diputuskan pada akhir bulan lalu. Namun sehingga kini tiada keputusan rasmi dibuat.
Ketika ini PH memiliki 40 kerusi iaitu PKR (19), DAP (15) dan Amanah (6). BN mempunyai lima kerusi manakala PN mewakili lima kerusi membabitkan Bersatu (4) dan PAS (1) sementara Pejuang (2), Bebas (3), Warisan (1).
Untuk rekod, Selangor mempunyai 56 DUN.