Menteri mahu syarikat korporat capai 30% wanita pembuat keputusan

Menteri mahu syarikat korporat capai 30% wanita pembuat keputusan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata ini kerana peratusan di sektor swasta masih rendah berbanding sektor awam yang kini melebihi sasaran iaitu 38%.

Tahun lalu syarikat tersenarai awam hanya mencapai 22% golongan wanita dalam peringkat pembuat dasar.
KUALA LUMPUR:
Syarikat korporat dan swasta perlu diberi penekanan dalam memastikan sasaran sekurang-kurangnya 30% wanita sebagai pembuat keputusan atau ahli lembaga pengarah syarikat tercapai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata ini kerana peratusan di sektor swasta masih rendah berbanding sektor awam yang kini melebihi sasaran iaitu 38%.

“Dalam korporat belum tercapai, ia bukan dalam kawalan kami cuma kami terus beri advokasi sebab itu kami bekerjasama dengan badan bukan kerajaan untuk pastikan desakan kita dirasai oleh sektor korporat dan mereka akan cuba untuk pastikan mereka melakukannya.

“Ia lebih kepada peluang kepada golongan wanita kerana kita ada bank cv (vitae kurikulum) daripada WLF (Yayasan Kepimpinan Wanita) dan kalau mereka rasa sukar mencari serta dapatkan wanita, dapatkan cv di situ untuk melihat data wanita di Malaysia yang mempunyai kelayakan diperlukan badan korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program “Breakfast Conversations with Nancy Shukri”, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi WLF, Hafsah Hashim, berkata pada tahun lepas, syarikat tersenarai awam hanya mencapai 22% golongan wanita dalam peringkat pembuat dasar.

Justeru beliau mencadangkan sasaran 30% wanita sebagai ahli lembaga pengarah syarikat dapat dijadikan dasar bagi memastikannya tercapai sekali gus memberi pulangan yang baik kepada negara.

“Saya percaya kalau ia dijadikan dasar oleh kerajaan kita akan bergerak pantas untuk mendapatkan 30% itu dan kalau boleh kita nak lebih lagi.

“Ini kerana berbagai kajian termasuk PwC dan Bursa menunjukkan kalau meletakkan wanita sebagai ahli lembaga pengarah maka dari konteks keuntungan syarikat, pulangan daripada pelaburan, pulangan ekuiti semua akan meningkat, jadi kita bukan suka-suka cakap,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.