
“Saya kekal mempertahankan jawatan (naib presiden Umno),” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Universiti UCSI Kampus Cawangan Bangladesh di sini hari ini.
Dua lagi penyandang naib presiden ialah bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid.
Sementara itu di Johor Bahru, Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah menawarkan diri bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno pada pemilihan nanti.
ADUN Larkin itu berkata, langkah permulaannya ke peringkat nasional itu mendapat persetujuan pucuk pimpinan bahagian dan negeri serta Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
“Saya akan cuba memastikan ada kesinambungan, sekali gus membawa imej Pemuda yang sentiasa lantang bersuara untuk kepentingan rakyat,” katanya yang juga ketua Pemuda Umno Johor Bahru, ketika ditemui baru-baru ini.
Ketua Pemuda Umno Johor sejak 2018 itu berkata bagi jawatan berkenaan, beliau dijangka berentap dengan anak bekas perdana menteri Najib Razak iaitu Mohd Nazifuddin dalam saingan tiga atau empat penjuru.
Jawatan naib ketua Pemuda Umno disandang Shahril Sufian Hamdan sebelum beliau digantung oleh parti selama enam tahun baru-baru ini.
Pemilihan Umno diadakan bermula 1 Feb hingga 18 Mac ini dengan persidangan tahunan Umno cawangan dan pemilihan jawatankuasa cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan ialah pada 1 hingga 26 Feb ini.
Selain itu, mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita Umno, Pemuda dan Puteri Umno bahagian bersama pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri Umno pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini.