
Memandangkan pada PRU15, parti dan gabungan dalam kerajaan perpaduan menjanjikan banyak pembaharuan, beliau berkata, usaha keras diperlukan untuk melaksanakannya bagi menunjukkan kerajaan serius melakukan perubahan.
“Jangan lupa bahawa yang sebenarnya mengundi kita untuk memerintah adalah mereka yang percaya dengan cita-cita ini,” kata Ahli Parlimen Muar itu kepada FMT.
“Jika anda tidak dapat menyampaikannya, dan tidak menepati banyak perkara asas, saya rasa anda akan kehilangan sokongan, terutamanya apabila cuba memenuhi terlalu banyak (kehendak).”
Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, yang diperintah PH, serta negeri PAS – Kelantan, Terengganu dan Kedah – dijangka mengadakan PRN selepas Jun.
Syed Saddiq berkata, kerajaan perpaduan masih boleh melakukannya kerana terdapat beberapa bulan lagi sebelum PRN diadakan, tetapi beliau memberikan amaran bahawa pelaksanaannya tidak lagi dapat ditangguhkan.
“Saya rasa akhirnya, orang ramai merujuk kembali kepada tadbir urus yang baik dan kecekapan, jadi itulah keutamaannya. Selagi anda menunjukkannya, anda boleh dapat sokongan.
“Saya tidak menolak fakta bahawa kaum dan agama memainkan peranan penting dalam membentuk politik di Malaysia, tetapi saya tidak menganggapnya sebagai kuasa terkuat. Saya rasa kita perlu lebih percayakan pengundi kita,” katanya.
Syed Saddiq tidak bersetuju bahawa apa yang dipanggil “gelombang hijau” pada PRU15 terutama disebabkan oleh golongan belia yang bersekolah tahfiz kerana terdapat banyak lagi faktor mempengaruhinya.
Sebagai contoh, katanya, PRN Johor pada Mac lalu menyaksikan BN menang dengan majoriti dua pertiga.
Beliau berkata, jika golongan pelajar tahfiz menjadi faktornya, keadaan tidak akan berubah dengan begitu mendadak.
“Fahaman konservatif sayap kanan semakin meluas kerana tiadanya alternatif yang koheren. Semua orang cuba mengatasi satu sama lain dalam spektrum ke kanan. Banyak lagi yang akan datang (seperti itu).
“Pada masa sama, pengundi berbilang kaum yang sederhana diambil ringan,” katanya.
Apabila ditanya apa perlu dilakukan untuk meyakinkan belia Melayu-Islam agar mengundi ke arah Malaysia yang berbilang budaya, Syed Saddiq berkata, kita tidak dapat lari daripada tadbir urus yang baik untuk menunjukkan bahawa pada akhirnya, Malaysia yang bersatu padu dan sejahtera terletak pada kepimpinan yang berwibawa.
Katanya, dasar dan proses membuat keputusan mesti dipacu oleh data dan sains, yang jarang dilakukan pada masa lalu.
“Sebagai contoh, selepas berdekad-dekad diberi bantuan kewangan, satu perempat daripada golongan Bumiputera dan rakyat Sabah masih hidup bawah paras kemiskinan. Mengapa ini berlaku?
“Mengapa masih ada keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu elit sedangkan pada hakikatnya, terdapat ramai lagi pelajar dan keluarga kurang berkemampuan berbangsa Cina dan India yang menderita tanpa bantuan sewajarnya?
“Anda mesti menghujahkannya mengikut dasar, didorong oleh data dan reka bentuk…dan sekali lagi, saya tidak memperjuangkan Malaysia tanpa kaum dan agama,” katanya.