
Ahli Umno Kuala Nerus Aizat Fikri Nasir memaklumkan bahawa beliau telah menerima surat maklum balas daripada JPPM berhubung perkara itu pada 26 Jan
Beliau meminta Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan agar tidak mendahului agensi itu dalam membuat keputusan berhubung perkara itu dan tidak campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.
“Saya menganggap kenyataan SUA Umno yang menggambarkan perkara berkenaan seolah-olah selesai adalah ‘premature’.
“Ini boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang menjaga tatakelola pertubuhan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ahmad menegaskan tidak berlaku pelanggaran perlembagaan parti atau peraturan mesyuarat pada PAU 2022, melibatkan kelulusan usul tambahan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
“Semua berjalan dengan teratur. Sekitar 90% perwakilan setuju dengan usul tiada pertandingan presiden dan timbalan.
“Sudah banyak kali dalam sejarah 77 tahun umur Umno jawatan itu tidak dipertandingkan,” katanya di Facebook.
Dua hari lepas, Ahmad berkata, beliau telah menemui Ketua Pengarah JPPM Nawardi Saad dan timbalannya di Putrajaya untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.
Ini susulan tindakan Aizat, bersama seorang lagi ahli Umno, Muhammad Fiqri Firdaus mengemukakan aduan kepada JPPM pada 20 Jan supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan tersebut yang didakwa tidak sah.
Aizat menambah, dalam perbincangan bersama pihak JPPM, agensi itu memaklumkan akan mendapatkan nasihat dan panduan daripada penasihat undang-undang kementerian.
“Saya percaya JPPM akan menjalankan siasatan yang eksplisit dengan memanggil perwakilan yang berada di Dewan Merdeka, termasuklah ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno bagi mendapatkan gambaran yang jelas dan adil,” katanya.