
Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang enggan dinamakan berkata, beliau hanya menerima peruntukan sebanyak RM1 juta berbanding RM3.5 juta sebelum ini, sekali gus menyukarkan urusan membantu pengundi dalam kawasannya.
“Sekiranya kami diberikan peruntukan lebih, amat mudah untuk kami membantu pengundi secara langsung, pantas dan efisien kerana permohonan daripada agensi atau jabatan kerajaan memakan masa agak lama,” katanya ketika dihubungi FMT.
Bagaimanapun, beliau percaya peruntukan tersebut akan ditambah selepas Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan selain menuntut supaya peruntukan sama rata turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, beliau berharap agar peruntukan dapat ditambah apabila keadaan kewangan negara bertambah baik.
Katanya, peruntukan tersebut adalah penting untuk masyarakat selain berharap ia disalurkan mengikut formula berpandukan kepada jumlah pengundi dan faktor geografi Parlimen.
“Ia tidak adil kerana Petaling Jaya mempunyai 200,000 pengundi mendapat peruntukan sama seperti Putrajaya, 43,000 pengundi,” katanya.
Seorang lagi Ahli Parlimen PH berkata yang enggan dinamakan berkata, cadangan pemberian peruntukan tambahan berpandukan kepada jumlah pengundi di satu-satu Parlimen akan diutarakan kepada perdana menteri dalam mesyuarat bersama dengan Ahli Parlimen kerajaan, 12 Feb ini.
“RM1 juta jika dibandingkan antara kampung dengan bandar tidak memadai. Jumlah sekolah di kampung dan bandar tidak sama, begitu juga surau dan masjid,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang daripada Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau terpaksa menggunakan wangnya sendiri bagi membantu pengundi di Parlimen itu.
Katanya, ini kerana semua Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan ketika ini.
“Kami (PN) tidak menerima sebarang peruntukan walaupun PH berjanji untuk tidak berbuat demikian dalam manifesto mereka,” katanya yang mahu membawa perkara ini pada persidangan Parlimen akan datang.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan tahun ini sebagai langkah penjimatan kewangan negara.
Anwar berkata, peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah serta pegawai kemajuan negeri dan disalurkan secara berperingkat, mengikut keperluan termasuk untuk projek mendesak seperti pembaikan jalan rosak dan mendalamkan sungai.
Awal hari ini, Bersih dilaporkan menyokong gesaan wakil rakyat pembangkang termasuk Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, agar kerajaan perpaduan pimpinan Anwar mengagihkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.