
Menurut KKM, pihaknya sentiasa memastikan sebarang interaksi bersama industri tembakau mematuhi garis panduan Artikel 5.3 termaktub dalam perjanjian Kawalan Tembakau dalam Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), termasuk polisi berkaitan dengannya.
“Pihak KKM telah menjalankan siasatan berkaitan dakwaan tersebut. Hasil awal siasatan mendapati pegawai berkenaan dikunjungi pemilik syarikat basikal Putrajaya dan syarikat percetakan.
“Tujuan perjumpaan untuk membincangkan cadangan mengadakan program intervensi pengurangan berat badan. Namun, tiada sebarang persetujuan dibuat semasa perbincangan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, KKM memandang serius dakwaan tular itu dan tuduhan sedemikian menggambarkan imej tidak baik kepada pihaknya dan amnya kepada kerajaan.
“KKM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai melanggar garis panduan Artikel 5.3 dan polisi berkaitan.
“Sebagai penjawat awam khususnya kakitangan KKM, tanggungjawab untuk memastikan sebarang perjumpaan bersama mana-mana syarikat swasta mahupun badan bukan kerajaan mestilah bebas daripada sebarang konflik kepentingan diri sendiri,” katanya.
Semalam, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) dalam kenyataan menyuarakan kebimbangan berhubung pertemuan dua pegawai kanan KKM dengan pemain industri tembakau.
MCTC menggesa pengurusan tertinggi KKM menyelesaikan segera isu itu memandangkan ia melanggar Konvensyen Rangka Kerja WHO mengenai perjanjian kawalan tembakau diratifikasi negara.