
Menerusi kenyataan bersama, NGO itu berkata ia merangkumi tempat perikanan utama, hutan bakau dan sebuah taman laut yang diwartakan (Pulau Besar).
“Projek tambakan ini adalah antara yang terbesar di seluruh Malaysia dan akan memusnahkan alam sekitar di pesisir pantai Melaka.
“Tambahan lagi, projek ini adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (MWEZ) yang melibatkan kawasan tambak laut seluas 25,000 ekar iaitu sepanjang 33km di seluruh pesisir pantai negeri Melaka,” kata kenyataan itu.
Kumpulan NGO itu terdiri daripada pelbagai pertubuhan termasuk Gabungan Selamatkan Pesisir Pantai Melaka, Agora Society Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka).
Selain itu, NGO terbabit menjelaskan, biarpun projek tambakan laut itu dikatakan penting untuk “pembangunan” namun pengalaman lalu menunjukkan projek terbabit tidak mampan.
“Sebagai contoh, projek Melaka Gateway yang dilancarkan sekitar tahun 2014 dijanjikan dapat membawa masuk pelaburan berjumlah RM43 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan.
“Namun sehingga hari ini, projek tersebut telah terbengkalai dan meninggalkan pencemaran yang teruk di kawasan persekitaran.
“Cadangan pembinaan pelabuhan baharu di tanah tambakan tersebut adalah tidak munasabah memandangkan Melaka sudah mempunyai dua pelabuhan lain iaitu Pelabuhan Tanjung Bruas dan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi. Terdapat juga pelabuhan utama lain di Selat Melaka seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Singapura,” katanya.
FMT menghubungi Exco Kerajaan Negeri Ab Rauf Yusoh untuk mendapatkan komen lanjut.
Projek MWEZ akan dibina di atas tanah tebus guna, meliputi kira-kira 22km dari Umbai ke Tanjung Bruas.
Pada 2021, penduduk Tanjung Kling mendesak Putrajaya campur tangan dan menghalang MWEZ daripada diteruskan, dengan petisyen dalam talian memperoleh lebih 20,000 tandatangan.