Imigresen tambah 40 pegawai di Tambak Johor atasi kesesakan

Imigresen tambah 40 pegawai di Tambak Johor atasi kesesakan

Ia susulan arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim Isnin lalu.

Jabatan Imigresen akan menempatkan ‘Task Force Quick Response Team’ di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor mulai 6 Feb ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Tambahan 40 pegawai Imigresen ditempatkan di Tambak Johor bagi mengatasi isu kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata penambahan itu susulan arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Isnin lalu.

Katanya, “Task Force Quick Response Team” (QRT) juga akan ditempatkan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor mulai 6 Feb ini.

“Empat puluh pegawai dari sektor operasi itu sedang diberikan latihan tentang prosedur dan SOP kemasukan,” katanya selepas meninjau QRT bagi mengatasi kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Isnin lalu, Anwar mengarahkan Jabatan Kastam dan Imigresen menambah anggotanya di BSI serta KSAB bagi menangani kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura itu.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, dua pasukan QRT ditempatkan di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi mengatasi kesesakan susulan ketibaan pelawat asing.

Katanya, 30 pegawai ditambah untuk dua pasukan QRT itu bagi memenuhi kaunter kosong.

“Terdapat 26 kaunter pelawat asing di KLIA. Jabatan Imigresen komited membuka semua kaunter pemeriksaan masuk pelawat asing, khususnya pada waktu puncak 2 petang hingga 8 malam.”

Beliau berkata, 780 pelawat asing diberi pelepasan masuk dalam tempoh sejam susulan pelaksanaan QRT di KLIA berbanding hanya 495 orang dalam tempoh 47 minit sebelum ini.

“(Ini bermakna) 13 orang (diberi pelepasan masuk) dalam tempoh seminit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.