Buka ruang rakyat jana pendapatan tambahan, gesa ahli ekonomi

Buka ruang rakyat jana pendapatan tambahan, gesa ahli ekonomi

Menurut ahli ekonomi, langkah itu membolehkan rakyat menjana pendapatan daripada pelbagai sumber bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

Rakyat berdepan kekangan kerana faktor gaji sepatutnya diberi ruang bagi menjana pendapatan tambahan, kata ahli ekonomi. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi mencadangkan kerajaan “berikhtiar” memperkenalkan susunan kerja fleksibel (FWA) bertujuan meningkatkan tahap pendapatan susulan tekanan kenaikan kos sara hidup.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, berkata langkah itu membolehkan pekerja jana pendapatan tambahan daripada pelbagai sumber.

“Rakyat tidak sepatutnya sekadar bergantung kepada satu majikan atau sumber pendapatan tunggal, bahkan perlu mendapat pendapatan daripada pelbagai pekerjaan,” katanya kepada FMT Business.

Katanya, jika majikan tidak mampu menawarkan gaji berpatutan, mereka sepatutnya melakukan pengubahsuaian masa kerja demi memberi ruang kepada pekerja memperoleh pendapatan tambahan di tempat lain.

Sebagai contoh, empat hari bekerja akan memberikan rakyat masa untuk meraih upah tambahan dari sumber lain.

Williams berkata demikian sebagai mengulas gesaan aktivis politik Abdul Rahim Hilmi Zakariya mahu kerajaan memastikan rakyat Malaysia mendapat pendapatan lebih tinggi, justeru mereka mampu membeli barang pada harga lebih tinggi.

Dalam komen di Facebook, Rahim berkata, langkah itu mampu membantu rakyat menyerap kos sara hidup semakin meningkat.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung data Jabatan Perangkaan mengenai platform ‘OpenDOSM’, membolehkan pengguna membuat pilihan lebih bijak.

Platform berkenaan memaparkan harga 28 juta barangan dari seluruh negara.

Rafizi berkata, data terbabit membolehkan rakyat berpeluang memantau peningkatan dan penurunan harga setiap barangan. Kerajaan juga berupaya memantau harga di peringkat makro.

Bagaimanapun, Rahim berkata, inisiatif itu tidak mungkin menjurus kepada penurunan harga barang.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, berkata sebarang langkah kerajaan menurunkan harga barang dipuji, namun ia kekal menjadi pendekatan jangka pendek.

Beliau berkata, bagi tempoh jangka panjang, kerajaan mesti melihat cara membantu rakyat menambah pendapatan demi mengurangkan beban ditanggung dan ia perlu dilaksanakan segera.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah mencabar untuk mengharapkan majikan menaikkan gaji tanpa peningkatan produktiviti.

Katanya, Malaysia masih jauh terkebelakang berbanding negara seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Norway, di mana majikan berkongsi 60% pendapatan dengan pekerja. Majikan Malaysia hanya berkongsi 35% sahaja.

Barjoyai berkata, Putrajaya juga perlu menubuhkan institusi perlindungan sosial sebagai langkah mewujudkan dana kebajikan untuk inisiatif baucar makanan dan bantuan kepada gelandangan, termasuk mereka kehilangan kerja.

Katanya, ini mampu mengurangkan tekanan terhadap kerajaan dalam memperuntukkan sejumlah besar dana tahunannya bagi membantu golongan memerlukan.

Pada 17 Jan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengumumkan hutang negara, termasuk liabiliti mencapai RM1.5 trilion.

Masalah besar kerajaan kerana berbelanja lebih daripada pendapatan. Dalam cadangan bajet 2023 dibentang kerajaan terdahulu, hasil cukai diunjurkan pada RM171.34 bilion dan perbelanjaan mengurus pada RM233.5 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.