
Bekas penasihat Suaram, Kua Kia Soong turut mempersoalkan adakah jawatan seperti itu hanya diwujudkan untuk ahli politik yang tidak mempunyai kerja.
Kua merujuk pelantikan Tian Chua sebagai penasihat menteri kerja raya Baru Bian pada 2019, dan mempersoalkan merit serta kelayakan ahli politik dilantik ke jawatan tersebut termasuk Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.
Kua juga mempersoalkan adakah pelantikan itu selaras cita-cita Pakatan Harapan.
Katanya, Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri untuk kali kedua turut melantik Daim Zainuddin bagi mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan “yang tidak dipilih secara rasmi”.
Kua berkata, terdapat “justifikasi meragukan” dalam pelantikan penasihat menteri, dengan kurangnya ketelusan atau kebertanggungjawaban dan terdapat risiko untuk mempolitikan perkhidmatan awam.
“Untuk permulaan sekiranya penasihat menteri diperlukan, mesti ada rangka kerja yang mengawal skop peranan mereka. Sebagai contoh, mereka tidak boleh mengarahkan penjawat awam melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan awam.
“Mereka tidak boleh diberi kuasa meluluskan perbelanjaan dana awam atau bertanggungjawab untuk bajet atau mempunyai kuasa berkaitan dengan pengurusan mana-mana bahagian perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan.
Ku menegaskan sistem berasaskan merit untuk membuat pelantikan seperti itu menjadikan mudah untuk rakyat menyalahkan Putrajaya.
“Kita memerlukan politik neutral, karier perkhidmatan awam berasaskan merit dan bukannya pelantikan politik yang meragukan yang dipanggil ‘penasihat menteri’,” katanya.
Pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan Anwar mendapat kecaman pembangkang dan aktivis anti-rasuah yang menuduh perdana menteri melanggar prinsip tadbir urus yang baik.
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini juga dikritik selepas melantik ketua Umno Kedah Jamil Khir Baharom sebagai penasihat hal ehwal agama.
Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri juga menerima nasib sama selepas melantik Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas beliau.
Faizal dibayar gaji bulanan penuh RM27,227.20 termasuk jumlah kadar purata 11 hari beliau menjadi penasihat khas Muhyiddin.
Muhyiddin meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos 2021.