
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub berkata pelbagai makanan ditawarkan pada harga RM5 seperti nasi ayam, rojak, nasi paprik, roti john dan kuetiau goreng.
“Kita cadangkan RM5, itu harga paling munasabah bila kita mengkaji bahan mentah.
“Saya faham peniaga juga berkorban dengan harga yang ada. Saya ucap terima kasih kepada semua (peniaga),” katanya dalam sidang media di Mydin Subang Jaya.
Ketika ini, beliau berkata, program itu tidak melibatkan sebarang dana daripada kerajaan.
“Persatuan peniaga sedia bantu (kita). Mereka juga sedia kecilkan margin mereka. Saya lihat mereka tak kompromi saiz makanan. Ayam kerat lapan, bukan potong 16. Satu saiz makanan yang menggembirakan pelanggan.”
Bagaimanapun, Salahuddin berkata, beliau akan mencadangkan pemberian insentif kepada peniaga yang menyertai Program Menu Rahmah kepada Jemaah Menteri.
“Pada mereka yang jayakan Menu Rahmah ini, kita akan bantu mereka dengan apa juga kemampuan.
“Contohnya, persatuan ini hadapi masalah pekerja, jadi kerajaan akan bantu mereka untuk beri mereka pekerja supaya mereka boleh beri servis yang baik.”
Terdapat 127,000 miskin tegar di negara ini dan Salahuddin berkata, kementeriannya berhasrat membantu golongan itu tanpa ada yang tertinggal.