Gambar tular wanita dilarang masuk balai selepas tukar seluar, kata polis

Gambar tular wanita dilarang masuk balai selepas tukar seluar, kata polis

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata IPD Kajang berurusan dengan kira-kira 300 orang setiap hari dan tiada masalah berkaitan pemakaian setakat ini.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata wanita terbabit pada mulanya berseluar pendek atas paras lutut, tetapi menukarnya selepas dinasihatkan berbuat demikian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis berkata gambar tular seorang wanita yang mendakwa dilarang memasuki IPD Kajang kerana pemakaiannya adalah selepas dia menukar seluarnya.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata wanita yang pada mulanya berseluar pendek atas paras lutut itu, menukar seluarnya selepas dinasihatkan berbuat demikian.

“Isu ini diviralkan dengan dakwaan wanita tersebut dilarang masuk ke kawasan balai polis walaupun memakai seluar sesuai.

“Pemakaian seluar panjang sebagaimana dalam gambar yang viral dalam laporan FMT yang dipakai olehnya adalah setelah beliau menukar seluar selepas dinasihatkan anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi semalam, Zaid berkata, wanita dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun itu ingin membuat laporan polis berkaitan kemalangan kereta.

Tetapi katanya, anggota bertugas mendapati wanita itu berseluar pendek paras peha (di atas paras lutut) dan menasihatkannya menukar seluar lebih sesuai, jika ingin berurusan di IPD selaras etika pemakaian berurusan di premis kerajaan.

“Wanita tersebut tidak berpuas hati dan enggan mengikut arahan pada awalnya dan telah memprovokasi anggota bertugas.

“Anggota bertugas sekali lagi menasihatinya secara berhemah dan meminta beliau menukar seluar yang lebih sesuai, jika ingin berurusan di balai polis.

“Lebih kurang 15 hingga 20 minit kemudian, wanita tersebut kembali bersama dua rakannya dan didapati memakai seluar panjang sebagaimana dalam gambar yang ditularkan dalam FMT.”

Beliau berkata, IPD Kajang berurusan dengan kira-kira 300 orang setiap hari dan tiada masalah berkaitan pemakaian setakat ini.

Katanya, gambar etika pakaian pelawat ketika berurusan di premis kerajaan turut ditampal di pos kawalan balai polis sebagai rujukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.