Abang Jo mahu Pelabuhan Bintulu diserah pada Sarawak

Abang Jo mahu Pelabuhan Bintulu diserah pada Sarawak

Ketika ini pengurusan pelabuhan itu dikawal selia kerajaan persekutuan.

Premier Sarawak Abang Johari Openg mahu kerajaan persekutuan tidak meneruskan status Pelabuhan Bintulu sebagai sebuah pelabuhan persekutuan. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak akan berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk tidak meneruskan status Pelabuhan Bintulu, pelabuhan laut dalam yang terletak kira-kira 626km utara dari sini, sebagai sebuah pelabuhan persekutuan.

Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata langkah berkenaan akan membolehkan pelabuhan itu diurus dan dimajukan lagi sebagai pelabuhan negeri, sekali gus mengubahnya sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Pasifik.

“Saya meminta para pemegang saham terutamanya Petroliam Nasional Bhd serta barisan lembaga pengarah dan pengurusan Bintulu Port Holdings Bhd untuk menyokong inisiatif pembangunan utama ini dan melaksanakan langkah-langkah perlu dalam lingkungan menjalankan kewajipan fidusiari mereka, ke arah merealisasikan objektif penting ini,” katanya.

Berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-10 Pelabuhan Perindustrian Samalaju di Bintulu malam tadi, beliau berkata, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score), yang merangkumi sebahagian daripada kawasan pedalaman Pelabuhan Bintulu akan menikmati kemajuan ekonomi di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Abang Johari berkata, Bintulu akan menjadi tempat tumpuan bagi industri penyerapan, penggunaan dan penyimpanan (CCUS) karbon baharu negeri serta penghasilan hidrogen dan biobahan api lain.

“Kerajaan negeri mahu Pelabuhan Bintulu untuk menjadi sebahagian daripada Bintulu yang rancak dari segi ekonomi supaya pemegang saham dan pihak berkepentingan akan menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang telah dirancang oleh negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.