Tak rayu 40% hasil Sabah, PM perjelas di Parlimen esok

Tak rayu 40% hasil Sabah, PM perjelas di Parlimen esok

Anwar Ibrahim berkata walaupun perkara berkait hasil tidak dirayu namun penjelasan turut merangkumi rayuan berkait kecacatan dalam alasan penghakiman.

anwar ibrahim kakitangan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan beri penjelasan kepada Parlimen susulan konsensus Jemaah Menteri tidak rayu pemberian khas 40% hasil Sabah.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan di Parlimen esok berhubung keputusan kerajaan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pemberian khas 40% hasil kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata penjelasan itu turut merangkumi rayuan berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman mahkamah berkenaan.

Beliau berkata, keputusan tersebut dicapai secara konsensus dan muafakat selepas satu mesyuarat khas Jemaah Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Setelah Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat khas semalam untuk mempertimbangkan keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan keputusan kita, ia dicapai selepas berjam-jam mendengar pandangan serta usul daripada setiap ahli Jemaah Menteri.

“Maka, kita memutuskan secara konsensus dan muafakat mengenai keputusan tersebut. Berhubung soal 40% yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, serta pertimbangan mengenai keputusan yang tidak dirayu, sementara keputusan penghakiman yang kita rayu akan saya jelaskan di Parlimen esok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi November 2025, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Seiring dengan keputusan kerajaan persekutuan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam memaklumkan proses rundingan dengan kerajaan Sabah akan dimulakan dalam kadar segera.

Menurut AGC, kerajaan persekutuan menghormati prinsip pemberian khas 40% hasil yang termaktub di bawah Perlembagaan.

Dalam mesyuarat khas itu, peguam negara turut memberi nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri mengenai beberapa kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut, termasuk dakwaan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan Perlembagaan, yang dikatakan membabitkan kedua-duanya sejak 1974.

Selain itu, AGC memaklumkan alasan penghakiman menyatakan kajian semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, dan tidak berkadaran.

Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan bagi 1974 hingga 2021.

Hakim Celestina Stuel Galid menyifatkan pemberian khas dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah sebagai ‘tidak sah, ultra vires, dan tidak rasional’ serta melanggar Perlembagaan.

Beliau turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40% hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.

Perintah itu menetapkan supaya semakan dilakukan dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua pihak perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.