
Ia susulan kematian peguam Thomas sekarang, Gopal Sri Ram, semalam.
Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud, berkata peguam Haikaldin Mahyidin memaklumkan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh bahawa Thomas memerlukan masa untuk mendapatkan peguam baharu.
“Hakim menetapkan untuk pengurusan kes pada 27 Feb sementara menunggu pelantikan baharu,” katanya kepada FMT selepas prosiding dalam talian.

Hari ini, mahkamah dijadual menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan pasukan petugas dan kerajaan untuk membatalkan saman difailkan Oktober lalu atas alasan ia adalah skandal, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Sebagai alternatif, defendan mahu mahkamah menggunakan kuasa sedia ada untuk membatalkan saman bagi mengelakkan ketidakadilan.
Thomas, dalam respons kepada permohonan untuk membatalkan saman itu berhujah, pasukan petugas berkenaan tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk menyiasat bukunya dan laporan dikeluarkan mengenai perkara itu menyalahi undang-undang.
Dalam saman pemulanya, Thomas menamakan kerajaan persekutuan dan semua anggota pasukan petugas sebagai defendan.
Dalam saman itu, Thomas berhujah bahawa penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.
Beliau berkata, penerbitan laporan pasukan petugas mengenai memoirnya bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” adalah melanggar undang-undang dan hak perlembagaannya.
Thomas mahukan pengisytiharan laporan dikatakan bertajuk “Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’”, yang dikeluarkan oleh pasukan petugas itu, adalah dokumen tidak sah dan tidak dibenarkan oleh undang-undang.
Beliau juga meminta pengisytiharan bahawa penerbitan laporan kerajaan melanggar haknya untuk reputasi yang dikatakannya, dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) perlembagaan.
Pasukan petugas itu ditubuhkan oleh Jemaah Menteri bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Okt 2021 untuk menjalankan kajian awal pendedahan yang dibuat oleh Thomas dalam bukunya, yang diterbitkan pada Januari 2021.
Pada 22 Dis 2021, Jemaah Menteri meluluskan terma rujukan pasukan petugas itu, yang melibatkan penyiasatan dakwaan mengenai badan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan, salah guna kuasa, kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.
Laporan pasukan petugas itu dibentangkan di hadapan Jemaah Menteri pada September tahun lalu dan didedahkan kepada umum pada 21 Okt.