Timbalan pendakwa raya ambil alih perbicaraan 1MDB, rayuan rasuah Rosmah, kata peguam negara

Timbalan pendakwa raya ambil alih perbicaraan 1MDB, rayuan rasuah Rosmah, kata peguam negara

Peguam Negara Idrus Harun berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap pasukan pendakwaan.

Idrus Harun menafikan spekulasi seorang peguam swasta akan mengambil alih daripada pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram yang meninggal dunia, semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua perbicaraan berkaitan 1MDB yang sedang berjalan dan rayuan bersabit rasuah Rosmah Mansor akan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya sepenuh masa bawah Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam Negara, Idrus Harun, berkata demikian sebagai menjawab spekulasi bahawa seorang peguam swasta akan mengambil alih tugas bagi menggantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan pendakwa raya ad-hoc Gopal Sri Ram yang meninggal dunia semalam.

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap pasukan pendakwaan,” katanya kepada FMT.

Sri Ram bekerjasama dengan timbalan pendakwa raya daripada Pejabat Peguam Negara dalam tiga kes itu.

Beliau dilantik pada Ogos 2018 oleh peguam negara ketika itu Tommy Thomas untuk mendakwa kes berkaitan 1MDB serta kes rasuah terhadap Rosmah.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya.

Kes yang bermula pada 2019 itu masih di peringkat pendakwaan.

Sri Ram juga merupakan ketua pendakwa dalam kes meminda laporan audit 1MDB melibatkan Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Zaini Mazlan akan menyampaikan keputusan pada 3 Mac sama ada bekas perdana menteri dan Arul perlu membela diri atau dibebaskan.

Pada 1 Sept tahun lalu, Rosmah didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berhubung projek RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga solar hibrid kepada 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Rosmah untuk menarik Zaini sebagai hakim perbicaraan dan mengetepikan sabitan dan hukumannya mulai 11 dan 14 Julai.

Sri Ram turut diamanahkan untuk mendakwa Rosmah yang menghadapi 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.09 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 1 Dis, Zaini menetapkan perbicaraan selama 15 hari secara berperingkat antara 12 Mei dan 8 Sept tahun ini.

Bagaimanapun, Zaini tidak mungkin mengendalikan semula kes itu susulan beliau dinaik pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 17 Jan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.