KJ dipelawa sertai Gerakan

KJ dipelawa sertai Gerakan

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen, yakin ideologi partinya berteraskan kesederhanaan bersesuaian dengan prinsip dipegang bekas menteri kesihatan itu.

Khairy Jamaluddin yang dipecat Umno malam tadi dialu-alukan menyertai Gerakan sebagai nafas baharu untuk dirinya, kata Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Komponen Perikatan Nasional (PN), Gerakan, secara rasmi menyatakan hasrat mahu Khairy Jamaluddin menyertai parti itu selepas dipecat Umno, malam tadi.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen, berkata Gerakan akan memberi sokongan kepada Khairy bersesuaian dengan kredibilitinya.

“Kami mengalu-alukan keahlian KJ ke parti Gerakan. Kami percaya pada titik paling rendah (susulan dipecat Umno) dalam karier politik beliau, kami boleh memberi sokongan kepada beliau.

“Ideologi parti Gerakan berteraskan kesederhanaan dan dengan kredibiliti yang ada, saya pasti ini akan memberi nafas baru kepada KJ,” katanya dalam kenyataan.

Wong berkata, pihaknya yakin dan percaya Gerakan merupakan platform yang sesuai kepada Khairy.

Malam tadi, Umno mengesahkan keahlian Khairy dan bekas pengerusi Selangor, Noh Omar dipecat.

Setiausaha Agung Ahmad Maslan dalam kenyataan berkata mereka “dipecat daripada Umno atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15”.

Selain Gerakan, kemasukan Khairy dalam parti politik baharu juga disentuh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, yang menyatakan sebarang keputusan menawar atau menerima kemasukannya perlu dibincangkan pimpinan parti.

Beliau berkata, bagaimanapun perkara itu belum dibangkitkan setakat ini dan jika ada, ia akan diputuskan secara bersama.

Wong ketika mengulas lanjut, turut mengkritik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memecat bekas Ahli Parlimen Rembau itu memandangkan beliau terbukti antara menteri menunjukkan prestasi baik ketika negara berdepan Covid-19.

Katanya, walaupun Khairy pernah memainkan isu perkauman kononnya pengundi Melayu di Pulau Pinang tidak diberi perhatian ketika beliau menjadi ketua Pemuda Umno lagi, namun Gerakan sanggup memaafkannya.

“…kami sanggup memaafkan beliau kerana kita sedar kita semua manusia, manusia mesti pernah buat salah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.