Rombak Finas untuk promosi bakat tempatan di luar negara, kata persatuan artis

Rombak Finas untuk promosi bakat tempatan di luar negara, kata persatuan artis

Presiden Seniman Rozaidi Jamil berkata, pelan membangunkan bakat seperti Michelle Yeoh tidak akan kesampaian jika Finas masih di takuk lama.

Industri filem tempatan tidak akan melihat kemajuan melainkan Finas berjaya menempa laluan ke arah pengiktirafan antarabangsa, kata persatuan artis.
PETALING JAYA:
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mahu Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dirombak susulan mendakwa ia gagal membantu melonjakkan bakat tempatan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Presidennya, Rozaidi Jamil, mendakwa antara kegagalan agensi itu adalah tidak menghantar pelakon tempatan ke festival filem antarabangsa bagi membantu membina reputasi.

“Finas membawa filem kita ke festival, tapi tidak pula membawa bersama bakat kita bagi pendedahan antarabangsa. Selain bergantung kepada media sosial, macam mana mereka ingin dapat pengiktirafan?” soalnya.

Rozaidi juga sangsi dengan keupayaan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Nasir Ibrahim menerajui badan perfileman itu, sambil menyatakan Nasir menghadiri banyak festival filem antarabangsa, namun gagal menyakinkan pembikin filem luar melakukan penggambaran di Malaysia.

Beliau memberitahu FMT, bekas pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid yang mencadangkan pelan “Road to Oscar” bagi mempromosikan bakat dan filem Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Antara inisiatif bawah pelan itu termasuk Program Insentif Filem di Malaysia (Fimi), melibatkan rebat tunai 30% bagi pembikinan filem di negara ini. Bagaimanapun, katanya, inisiatif berkenaan tidak lagi dipromosikan.

Rozaidi mendakwa, pelan membangunkan lebih ramai bakat seperti Michelle Yeoh akan gagal sekiranya Nasir kekal di Finas, selain menyatakan beliau berperanan penting memastikan pelan seperti “Road to Oscar” dapat direalisasikan.

Yeoh menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Golden Globe dan dicalonkan sebagai pelakon wanita terbaik di Oscar.

“Justeru, kami menggesa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melantik individu berkemampuan sebagai ahli lembaga Finas untuk menjamin pelan ‘Road to Oscar’ menjadi kenyataan,” kata Rozaidi.

Dalam pada itu, penulis dan pengarah Al Jafree Yusop berkata, bakat seperti Yeoh mendapat peluang melebarkan sayap di luar negara kerana Hollywood menjadi satu-satunya tempat untuk meraih pengiktirafan antarabangsa, sebagaimana pelakon Jackie Chan dan Chow Yun Fat, yang menempa nama di Hollywood.

“Tetapi mereka (Chan dan Chow) terlebih dulu berjaya dalam filem tempatan yang dibintangi mereka, yang membantu mereka diiktiraf di Hollywood,” katanya.

Beliau berkata, masalah dengan Finas adalah ia sering terbelenggu dalam “zon selesa”, sekali gus menjadi kekangan untuk menambah baik hala tujunya.

Beliau bersetuju badan itu dirombak agar industri tempatan dapat mengeluarkan filem lebih bermutu.

“Apabila melibatkan filem, Finas memainkan peranan utama. Ia perlu dirombak untuk membolehkan industri berkembang.”

Jafree berkata, “ekosistem untuk pertukaran bakat dan teknologi” diperlukan bagi menarik lebih banyak pembikin filem luar berkunjung ke Malaysia dan Finas sepatutnya menerajui inisiatif itu.

“Contohnya seperti Peter Jackson, beliau melabur di New Zealand,” katanya.

“Beliau menubuhkan studio Weta Digital di New Zealand apabila melakukan penggambaran filem ‘Lord of the Rings’ di sana. Bakat tempatan belajar banyak perkara mengenai kesan khas di sana, membolehkan pembikin filem lain di New Zealand mengeluarkan filem lebih bagus juga.”

Awal minggu ini, Fahmi berkata, beliau merancang memupuk lebih ramai bakat dalam industri hiburan tanah air, susulan negara gagal mengambil peluang mencungkil bakat Yeoh ketika pelakon itu berada di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.