
Dalam kenyataan, Setiausaha Agung Fomca Paul Selva Raj berkata, Akta Persaingan 2010 diperkenalkan untuk mencegah tingkah laku monopoli oleh syarikat.
Katanya, Fomca memfailkan aduan terhadap penyedia sistem pembayaran itu pada 2018 kerana kedudukannya yang didakwa memonopoli.
“Dua tahun kemudian, pada 28 Ogos 2020, MyCC memberi maklum balas bahawa ia telah menjalankan siasatan, dan berdasarkan hasil siasatan tersebut, ‘isu yang dibangkitkan tidak menimbulkan sebarang kebimbangan berhubung persaingan’,” kata Paul.
Beliau mendakwa MyCC terus berdiam diri walaupun pengguna membuat aduan terhadap TnG.
“Fomca mengalu-alukan tindakan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup untuk membentuk pasukan petugas khas bagi menyiasat aduan terhadap TnG.
“Selain TnG, Fomca juga menyeru menteri untuk mengkaji semula keberkesanan MyCC dalam melindungi pengguna,” kata Paul sambil menambah, kegagalan suruhanjaya itu akan membawa kepada harga yang lebih tinggi untuk pengguna.
Minggu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata, pasukan petugas khas itu ditubuhkan berikutan aduan mengenai perkhidmatan TnG termasuk kad prabayar Visa, kesukaran mendapatkan kad TnG, masalah RFID dan talian penting yang tidak dijawab, antara lainnya.
FMT telah menghubungi TnG dan MyCC untuk mendapatkan komen.