Wabak selesema burung di AS, Eropah tak jejas bekalan ayam, kata menteri

Wabak selesema burung di AS, Eropah tak jejas bekalan ayam, kata menteri

Mohamad Sabu berkata walaupun negara belum mencatatkan kes selesema burung, pihaknya sentiasa memantau perkembangan wabak itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata bekalan ayam negara stabil dan beliau berharap ia akan terus berada dalam keadaan stabil pada masa hadapan. (Bernama pic)
ALOR SETAR:
Wabak selesema burung yang sedang melanda Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah tidak menjejaskan bekalan ayam di pasaran negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata walaupun negara belum mencatatkan kes selesema burung, pihaknya sentiasa memantau perkembangan wabak itu.

“Buat masa ini, bekalan ayam negara stabil dan kita berharap ia akan terus berada dalam keadaan stabil pada masa hadapan.

“Setakat ini, wabak selesema burung itu tidak memberi sebarang kesan kepada bekalan ayam negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah pusat jualan ayam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bekalan ayam negara akan terjejas berikutan penularan selesema burung di beberapa negara sehingga menyebabkan puluhan ribu ayam terpaksa dimusnahkan di negara terbabit.

Sementara itu, ditanya mengenai subsidi bersasar kepada penternak ayam, Mohamad berkata ia sedang dibincangkan dengan agensi terlibat termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Subsidi ini sudah lama berjalan dan ada permintaan supaya ia dikaji semula dan kini ia di peringkat kajian terakhir dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Sekiranya kita menerima aduan bahawa subsidi itu tidak sampai kepada golongan sasar, pegawai akan turun mengambil tindakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.