Dakwaan PBM bahagian bubar hanya publisiti murahan, kata Sng

Dakwaan PBM bahagian bubar hanya publisiti murahan, kata Sng

Larry Sng meminta mereka mengikut perlembagaan parti jika ada ahli yang mahu keluar parti.

Presiden PBM Larry Sng berkata pihaknya masih tidak menerima satu surat pun di sebalik pengumuman pembubaran bahagian dan peletakan jawatan ahli itu. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Beberapa individu yang mendakwa Parti Bangsa Malaysia (PBM) bahagian dibubarkan dan ahli meletak jawatan hanya ingin mencari “publisiti murahan”, kata ketua parti Larry Sng.

Katanya, di sebalik pengumuman peletakan jawatan ahli jawatankuasa di bahagian PBM di Pahang dan Negeri Sembilan, dan bahagian Selayang, parti itu tidak menerima satu surat pun.

“Setahu saya, ini hanya publisiti murahan. Pihak parti masih belum menerima satu surat pun,” katanya kepada FMT.

“Namun, jika ada ahli yang ingin keluar, saya ucapkan yang terbaik. Tetapi sila lakukan mengikut perlembagaan parti.”

Mengenai pengumuman pembubaran bahagian atau bahagian negeri parti, Sng berkata tiada siapa yang berhak membuat pengumuman sedemikian.

“Keputusan sebegini hanya boleh dibuat oleh Majlis Tertinggi, bukan melalui pengumuman yang dibuat kepada media oleh mana-mana pemimpin,” katanya.

Semalam, PBM Negeri Sembilan mengumumkan pembubaran dan peletakan jawatan semua ahli jawatankuasa negeri, bahagian, sayap pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Sng.

Pengerusinya, Rosman Jonet, mendakwa berkata Sng hanya memikirkan kepentingan dirinya dengan tindakannya mendedahkan rahsia parti di platform media sosial, selain mengeluarkan kenyataan yang didakwa merosakkan imej PBM.

Minggu lalu, PBM bahagian Selayang mengumumkan jawatankuasanya dibubarkan berkuat kuasa 15 Jan.

Ketua PBM Selayang, JC Jess Choy, berkata bahagian itu hilang keyakinan terhadap Sng kerana mungkir janji dengan tidak memberi laluan kepada Zuraida Kamaruddin menjadi presiden parti.

Pada 14 Jan, PBM Pahang mengumumkan pembubaran jawatankuasanya dan lapan bahagian yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kerana hilang keyakinan terhadap Sng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.