
Sabah dan Sarawak berhak diberikan geran khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, dengan Anwar baru-baru ini berkata, geran berkenaan akan disemak semula setiap lima tahun demi memastikan “jumlah berpadanan” dapat diperuntukkan.
Sebelum ini, Sarawak menerima RM16 juta, manakala Sabah, RM26 juta. Walaupun Anwar menyatakan belum ada formula jelas dimuktamadkan bagi mengira jumlah geran khas berkenaan, beliau ketika lawatan kerja ke Kuching pada Jumaat mengumumkan Sarawak akan menerima RM300 juta dan Sabah RM260 juta.
Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir, berkata, pengumuman Anwar itu akan menjamin kestabilan politik, manakala Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, pengumuman itu dilihat sebagai isyarat kepada pemimpin Sabah untuk menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
“Sokongan Sabah dan Sarawak (penting) bagi kerajaan perpaduan sedia ada kerana ia boleh tumbang tanpa sokongan mereka.
Sangat penting mempunyai dasar inklusif agar tidak berlaku diskriminasi dan peminggiran mana-mana negeri,” kata Jeniri.
Mengambil maklum peningkatan peruntukan geran itu membantu menjana pembangunan di dua negeri itu, Jeniri berkata, Anwar perlu memberi tumpuan kepada menangani kemiskinan di Sabah dan Sarawak melalui pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Dalam pada itu, Lee berkata, pertambahan geran khas memaparkan komitmen Anwar memenuhi perkara termaktub bagi Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang “dituntut sejak sekian lama”.
Beliau juga maklum jumlah RM260 juta adalah lebih sekali ganda daripada RM125.6 juta yang dirunding Hajiji tahun lepas dengan menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Aziz.
“Ini semestinya akan menunjukkan keikhlasan Anwar memenuhi janji dalam MA63 kepada Sabah dan Sarawak, selain memperoleh sokongan menyeluruh daripada GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) kepada kerajaan perpaduannya,” katanya.
“Berbanding cuba menjatuhkannya, pemimpin di Sabah sepatutnya bersama Hajiji berjuang mendapatkan lebih banyak hak Sabah dalam MA63.”
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof semalam berkata, formula pemberian geran khas sedang diperinci, dan pandangan semua pihak akan diambil kira dalam menentukannya.
Dalam laporan Bernama, beliau berkata, Premier Sarawak Abang Johari Openg mencadangkan formula berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan persekutuan.
“Formula belum dapat dimuktamadkan tetapi buat masa ini prinsip dan mekanisme sudah ada dan kita akan cuba muktamadkan.
“Jika kedudukan kewangan (kerajaan persekutuan) baik, maka bayaran perlu lebih,” kata Fadillah, yang juga timbalan perdana menteri pertama dilantik dari Sarawak.