Kenapa tidak boleh berbeza pandangan, 2 ahli Umno soal Puad

Kenapa tidak boleh berbeza pandangan, 2 ahli Umno soal Puad

Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Muhammad Fiqri dan Muhammad Aizat membuat laporan kepada JPPM berhubung usul jawatan `top two' tidak dipertandingkan.

Ahli Umno Aizat Fikri Nasir (kiri) dan Fiqri Firdaus selepas memfailkan laporan mereka dengan JPPM di Putrajaya semalam.
PETALING JAYA:
Dua ahli Umno yang membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung usul dua jawatan tertinggi dalam parti itu tidak dipertandingkan membidas Puad Zarkashi selepas ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu mempersoalkan sama ada mereka dipergunakan oleh pihak tertentu.

Terdahulu hari ini, Puad mempersoalkan sama ada dua ahli Umno itu, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom dan Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir benar-benar bersifat berani apabila berbuat demikian atau mereka sekadar dipergunakan.

Puad juga membidas Khairy Jamaluddin yang memuji Aizat dan Fiqri dengan berkata, tindakan mereka menunjukkan masih ada ahli parti berkenaan yang berani dan waras.

Bercakap dengan FMT, Fiqri yang juga ahli Umno Seremban berkata, beliau tersinggung dengan kenyataan Puad itu.

“Sebagai seorang yang lahir dan membesar dalam Umno, (kenyataan Puad) menghina kebijakan saya.

“Macam mana beliau boleh kata demikian (tentang saya)? (Umno) ada tiga juta ahli, tak bolehkah ada pandangan berbeza?,” katanya.

Fiqri menegaskan, sebagai veteran Umno, Puad seharusnya lebih matang apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian supaya tidak mengguris perasaan ahli parti.

“Saya hormat beliau, tetapi saya harap beliau dapat berikan komen membina, sekurang-kurangnya hargai mereka yang ada pandangan berbeza,” katanya.

Sementara itu, Aizat, ahli Umno Terengganu, bingung dengan sikap Puad yang enggan menerima pandangan berbeza dalam parti.

“Saya tak faham kenapa pemimpin Umno ini tak boleh terima perbezaan pendapat. Kenapa setiap kali ada perbezaan, mesti dilihat sebagai diperalatkan dan dibiayai?

“Saya datang dari keluarga Umno. Ayah dan datuk saya penyokong setia Umno. Tidak ada siapa boleh beli atau arah saya. Ini soal prinsip,” katanya.

Khairy balas

Sementara itu, Khairy turut membidas Puad atas kenyataannya dengan berkata, ahli Umno berhak mendapatkan penjelasan daripada JPPM jika mereka mempunyai persoalan tentang perkara itu.

“Adakah Umno hanya kepunyaan pemimpin tertinggi? Umno milik semua ahli. Mana-mana ahli boleh minta penjelasan daripada JPPM,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu, lapor The New Straits Times.

“Kita mesti hormat mana-mana ahli Umno yang mahukan kejelasan, memandangkan usul yang dibawa oleh perwakilan Umno Rembau itu sangat berkontroversi, dengan ramai pakar undang-undang mempersoalkan keabsahannya.

“Saya sokong mana-mana ahli Umno yang mahu mendapatkan kejelasan tentang keabsahan usul itu.

Usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang itu dicadangkan oleh perwakilan Umno Rembau semasa perhimpunan agung parti itu Jumaat lepas dan diluluskan menerusi undian suara pada hari berikutnya.

Usul itu memastikan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan, akan kekal dalam jawatan tanpa bertanding dalam pemilihan Umno yang mesti diadakan menjelang 19 Mei.

Pemimpin Umno berbelah bahagi mengenai perkara itu. Walaupun ada yang yakin dengan keabsahan usul itu, yang lain mendakwa ia melanggar perlembagaan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.