
Sim Choo Kheng, pengerusi eksekutif pengendali taman tema Sim Leisure Group berkata, Malaysia pada mulanya mendapat pengiktirafan global sebagai “wadah tumpuan budaya, kaum dan agama di Asia Tenggara”, tetapi kini kehilangan banyak tarikan.
“Malangnya, kita hilang arah sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana disesatkan oleh ahli politik yang memenuhi agenda mementingkan diri sendiri dan tidak menyedari kerosakan yang mereka lakukan kepada industri pelancongan.
“Ini menjejaskan imej dan reputasi negara sebagai destinasi pelancongan yang menarik,” katanya kepada FMT.
Sim berkata, industri pelancongan juga dibantutkan oleh kelemahan visi dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif yang buruk.
“Pelancongan tidak pernah diberi keutamaan dan tumpuan sewajarnya, yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia benar-benar berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Malaysia membuka semula sempadannya kepada pelancong antarabangsa pada April lalu selepas lebih dua tahun memerangi wabak Covid-19. Bagaimanapun, sektor pelancongan sedang bergelut untuk mencapai angka ketibaan seperti sebelum wabak.
Menurut Tourism Malaysia, kira-kira tiga juta pelancong mengunjungi negara ini tahun lalu berbanding 21.6 juta pada 2019.
Sebagai perbandingan, Thailand (10 juta pelawat), Singapura (4.6 juta) dan Indonesia (4.58 juta) menunjukkan pemulihan yang lebih kukuh.
Sim berkata, Thailand dan Indonesia mempunyai strategi pelancongan jelas yang menumpukan kepada mengembangkan sektor itu melalui titik jualan yang unik, serta promosi lebih baik dan bersasar di pasaran antarabangsa.
Manakala Thailand mempunyai reputasi sebagai destinasi liberal yang terkenal dengan hiburan malamnya, Malaysia harus meletakkan diri sebagai destinasi mesra keluarga, katanya.
Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia, Jimmy Leong, berkata ramai pelancong memilih destinasi selain Malaysia kerana banyak kegiatan percutian biasa, seperti pengambilan alkohol, dikawal ketat di sini.
Beliau berkata, pengunjung mahu menikmati negara ini dan mendapat pengalaman yang tidak dapat dilupakan tanpa disekat oleh peraturan tidak mesra pelancong.
Ketua Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Tan Kok Liang, berkata industri tempatan boleh menarik lebih ramai pengunjung dengan meningkatkan keterlibatannya di pasaran antarabangsa.
Ini boleh dicapai dengan menganjurkan lebih banyak pameran perdagangan dan mengguna pakai pemasaran digital dan media sosial, katanya.