
Anwar berkata, madani merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan.
Ia juga memberi makna usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai murni kekeluargaan, dan kurikulum yang juga terarah kepada pembinaan masyarakat.
Pada terasnya, konsep madani mencerminkan kepercayaan dijalin antara kerajaan dan rakyat atas dasar ketelusan dan kerjasama.
“Agenda dasar kerangka madani bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan semasa tetapi menyentuh pencorakan masa depan negara.
“Ini sebagai usaha dan upaya untuk mencipta lonjakan baharu buat negara,” kata Anwar ketika menyampaikan amanat selepas wacana “Membangun Malaysia Madani” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sebelum ini, “Keluarga Malaysia” adalah slogan diperkenalkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu dalam amanatnya, Anwar berharap persidangan Parlimen akan datang “lebih siuman, tenang dan manusiawi” daripada sebelum ini.
Beliau percaya hasil sokongan daripada pimpinan politik dalam Jemaah Menteri, kerajaan perpaduan boleh melakukannya.
“Kalau tak manusiawi, lawannya itu jelik. Jadi sebab itu saya percaya kita boleh lakukan,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau tidak akan mencampuradukkan sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah dalam negara.
Beliau berkata, sebarang pengambilan harta negara harus dipulangkan semula.
“Harus dipulangkan kepada negara dan rakyat,” katanya.
Anwar turut mahu kegemilangan negara dimartabatkan semula demi masa depan generasi akan datang.
“Saya tegaskan semula, buka pintu hati kita selamatkan negara kita yang pernah tunjuk potensi baik. Ia mesti dimulai sekarang,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata slogan baharu bukan bermaksud akan meninggalkan dasar yang lama.
Katanya, idealisme itu mesti diterjemahkan kepada dasar sedia ada.
“Lebih penting ialah soal implementasi dari idealism seorang pemimpin. Dalam hal ini, Anwar melontarkan pandangan tentang masyarakat madani, tentunya perlu dapat sokongan parti dalam kerajaan ini,” katanya.