Lewat hantar minuman, pekerja restoran cedera diparang 2 lelaki

Lewat hantar minuman, pekerja restoran cedera diparang 2 lelaki

Dalam kejadian itu mangsa lelaki berusia 46 tahun mengalami kecederaan patah tulang jari telunjuk kiri dan luka di lutut kanan.

Tangkap layar video tular menunjukkan mangsa ditetak dua lelaki berparang di sebuah restoran.
PETALING JAYA:
Seorang pekerja restoran cedera ditetak dua lelaki bersenjatakan parang di depan sebuah restoran di Taman Segar Perdana, Cheras, Selasa lalu.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa, yang menegur suspek kerana membuat bising apabila minuman dipesan lewat dihantar.

Katanya, suspek turut dihalau dari restoran itu sebelum kembali semula bersama seorang rakan sambil membawa parang untuk menyerang mangsa.

“Dalam kejadian itu mangsa lelaki berusia 46 tahun mengalami kecederaan patah tulang jari telunjuk kiri dan luka di lutut kaki kanan,” katanya polis menerima maklumat kejadian itu pada 9.25 pagi, dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata polis menahan dua lelaki tempatan berusia 44 dan 47 tahun di Taman Cheras Permata, Kajang, pada 3 pagi 18 Jan lalu serta merampas dua parang dan pakaian digunakan suspek semasa kejadian.

“Suspek kini direman lima hari hingga 22 Jan bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata,” katanya.

Zaid meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi balai polis atau Pegawai Penyiasat Muhamad Ali Hamzah di talian 019 8660324.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.