Kecewa dengan Sng, PBM Selayang bubar jawatankuasa bahagian

Kecewa dengan Sng, PBM Selayang bubar jawatankuasa bahagian

Pembubaran yang dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Khas Pimpinan PBM Selayang itu berkuatkuasa pada 15 Jan lepas.

PBM Selayang kecewa dan hilang kepercayaan terhadap presiden parti itu, Larry Sng kerana memungkiri janji memberi laluan kepada Zuraida Kamaruddin untuk memimpin parti.
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) bahagian Selayang mengumumkan bahawa jawatankuasa bahagiannya telah dibubarkan berkuat kuasa 15 Jan lepas.

Ketua PBM Selayang JC Jess Choy Pooi Yee berkata, pembubaran jawatankuasa yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) itu dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Khas Pimpinan PBM bahagian itu.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan rasa kecewa dan hilang kepercayaan terhadap Presiden PBM Larry Sng yang memungkiri janji memberi laluan kepada pengasas PBM, Zuraida Kamaruddin, untuk memimpin parti.

“Sng juga ingkar dengan keputusan Persidangan Agung Tahunan PBM pada 1 Okt 2022 yang meluluskan usul secara sebulat suara agar proses peralihan kuasa presiden parti diberikan kepada Zuraida.

“Selain itu, beliau juga telah menyalahgunakan kuasa untuk memecat 13 pimpinan kanan parti termasuk Zuraida tanpa rundingan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PBM,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Jess berkata, ahli Jawatankuasa PBM Bahagian Selayang akan kekal sebagai ahli biasa dalam parti tersebut untuk terus menyokong enam teras agenda parti.

Terdahulu, PBM Pahang mengumumkan pembubaran jawatankuasa dan lapan bahagian negeri itu yang berdaftar dengan JPPM kerana hilang kepercayaan terhadap Sng.

Lapan bahagian yang dibubarkan ialah Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Temerloh, Bentong, Bera, dan Rompin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.