
Ketua Polis Sungai Buloh, Shafa’aton Abu Bakar berkata, setakat ini polis telah merakam keterangan seorang saksi pada 4.30 petang semalam, bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat tersebut.
“Setakat ini hanya seorang saksi sudah dirakam percakapan berkaitan kes ini.
“Bedah siasat ke atas mayat sudah dilakukan di Hospital Sungai Buloh (HSB) hari ini dan mendapati punca kematiannya disebabkan pelbagai kecederaan akibat senjata tajam,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Bagaimanapun, katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti identiti sebenar mangsa.
Terdahulu media melaporkan, penemuan mayat dikerat enam bahagian dan disumbatkan ke dalam bagasi ditemui di tepi lebuh raya PLUS berhampiran susur Rawang Selatan arah utara.
Shafa’aton dilaporkan berkata, beg berkenaan ditemukan orang awam pada 11.30 pagi sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis, lapor Bernama.
Katanya, anggota forensik polis yang membuat pemeriksaan menemukan beberapa bahagian badan dari bahu ke pinggang yang dikerat dan kedua-dua tangan dalam bagasi itu.
“Bagaimanapun, bahagian kepala mangsa tidak ditemui.”
“Identiti mangsa belum dikenal pasti dan anggota badan berkenaan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.