Anak luar nikah bukan Islam ada hak, kata mahkamah

Anak luar nikah bukan Islam ada hak, kata mahkamah

Mahkamah Persekutuan memutuskan sebulat suara bahawa anak luar nikah bukan Islam berhak terhadap estet ibu bapa yang meninggal dunia tanpa wasiat.

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan seorang wanita berusia 21 tahun dalam tuntutan harta peninggalan bapa yang tidak berkahwin dengan ibunya.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan memutuskan sebulat suara bahawa anak luar nikah bukan Islam berhak terhadap estet ibu bapa yang meninggal dunia tanpa wasiat.

Hakim Mary Lim ketika membacakan keputusan itu berkata perkataan “zuriat” dalam Akta Pembahagian 1958 mesti merangkumi anak yang mempunyai pertalian darah dengan ibu bapa yang telah meninggal dunia, tanpa mengira kesahannya.

Lim berkata demikian ketika membenarkan rayuan wanita berusia 21 tahun berbapakan seorang ahli perniagaan kaya yang tidak berkahwin secara sah dengan ibunya.

Beliau berkata, isu penting dalam rayuan itu adalah sama ada “anak” dan “zuriat” dinyatakan dalam Akta Pembahagian perlu dibaca secara tak berdiskriminasi seiring Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan itu menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang, dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, dan Hakim Hasnah Hashim.

Mahkamah turut membenarkan kos RM50,000 untuk wanita itu, yang diwakili peguam Cyrus Das dan AG Kalidas.

Wanita itu mengemukakan tuntutan untuk sebahagian harta mendiang bapanya selepas isteri si mati menghalang usahanya itu.

Isteri si mati sebelum ini memohon deklarasi bahawa anak berkenaan – hasil hubungan si mati dengan wanita lain – dilahirkan luar nikah seterusnya tiada hak terhadap estet lelaki itu.

Mahkamah Tinggi membenarkan deklarasi itu pada 2018 yang kemudian disahkan Mahkamah Rayuan pada tahun berikutnya, menyebabkan si anak berkenaan memfailkan rayuan pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.