Siti Bainun sebak ditinggal peguam

Siti Bainun sebak ditinggal peguam

Hakim menasihatkan pengasas Rumah Bonda itu melantik peguam lebih bertanggungjawab mengendalikan kesnya.

Siti Bainun Ahd Razali diberi tempoh oleh mahkamah untuk segera melantik peguam baharu walaupun hanya seorang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali sebak selepas dua lagi peguam mewakilinya, yang berdepan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down Bella menarik diri sekali gus menyebabkannya tidak mempunyai pasukan pembelaan.

Siti Bainun kelihatan sebak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, apabila Asiah Abd Jalil dan Nurul Hafidzah Hassan berbuat demikian selepas memberi pemakluman kepada mahkamah malam tadi.

Semalam, tiga peguam iaitu Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur ‘Aminahtul Mardiah Md Nor turut menarik diri dalam kes itu.

Ketika prosiding, Hakim Izralizam Sanusi memaklumkan kepada Siti Bainun bahawa pihak mahkamah ada menerima notis penarikan diri kedua-dua peguam itu malam tadi.

“Saya dapat notis (penarikan diri) itu malam tadi pukul 9 malam. Saya bagi tarikh, kamu kena lantik peguam (peguam baharu) secepat mungkin,” katanya menurut Kosmo.

Pada masa sama, Izralizam turut menasihati Siti Bainun supaya melantik peguam lebih bertanggungjawab untuk mengendalikan kesnya.

“Sekadar seorang pun jika boleh kendali tiada masalah…kalau banyak firma pun berlaku macam ini (tarik diri) tidak beri manfaat kepada kamu juga. Bila seorang tarik diri, ‘team’ (kumpulan) juga tarik diri.

“Kalau dapat seorang pun sekiranya dia memadai dan bertanggungjawab dan boleh mengendalikan kes dengan baik…awak lantik,” katanya.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jan untuk sambung bicara dan perbicaraan yang sepatutnya berlangsung bermula esok hingga Jumaat ini dilapangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.