Hina Sultan Selangor: Rayuan hukuman penjara penceramah 7 April

Hina Sultan Selangor: Rayuan hukuman penjara penceramah 7 April

Pada 12 Julai 2019 Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman itu yang sepatutnya bermula 9 Julai tahun sama hingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Pada 10 Sept 2014 Wan Ji Wan Hussin didakwa kerana menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan menangguhkan ke 7 April ini bagi mendengar rayuan hukuman penjara setahun terhadap penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin, atas kesalahan menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor.

Peguam bela Wan Ji, Sangeet Kaur Deo, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan perkara itu.

“Penangguhan itu akan memberi masa kepada saya untuk lebih bersedia dalam rayuan berkenaan selepas mengambil alih daripada peguam, Ramkarpal Singh,” katanya lapor akhbar itu.

Difahamkan, pendengaran itu untuk pembelaan berhujah mengenai usul yang merujuk isu perlembagaan iaitu sama ada Akta Hasutan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 12 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman itu yang sepatutnya bermula 9 Julai tahun sama hingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Hakim Abdul Halim Aman, membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan beberapa alasan dikemukakan peguam mewakili Wan Ji, Mohd Radzlan Jalaludin dan Ariff Azami Hussein.

Dalam prosiding itu, Halim menetapkan syarat tambahan kepada Wan Ji iaitu perlu mendapatkan kebenaran mahkamah untuk ke luar negara, selain meneruskan syarat Mahkamah Sesyen sebelum ini, iaitu membayar wang jaminan RM5,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada 10 Sept 2014, Wan Ji didakwa kerana menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam, pada 10 pagi, 5 Nov 2012.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.