
Menurut Berita Harian, permohonan dibuat Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur ditemani adik beradiknya, mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Ibu kepada dua cahayamata itu diwakili peguam syarie, Akberdin Abdul Kader.
“Cukuplah sembilan tahun saya jadi isteri kepada Mohd Syamsul. Nampaknya, tiada rezeki sudah,” katanya kepada pemberita.
Puteri Sarah berkata, sepanjang tempoh perkahwinan terutama ketika mereka dilanda krisis, beliau sudah melaksanakan tanggungjawab terbaik sebagai isteri.
Ketika ditanya wartawan, Puteri Sarah mengaku Syamsul sudah ‘unblock’ aplikasi Whatsappnya dan menghubunginya untuk berbincang bersabit tuntutan cerainya.
Namun beliau tidak memberikan respon berikutan masing-masing sibuk dengan jadual penggambaran.
“Syamsul ada hantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp untuk ajak berjumpa dan berbincang. Tetapi, saya tidak jawab.
“Tunggulah, mungkin (jawab) selepas ini. Sebelum ke sini (Mahkamah Syariah Kuala Lumpur), Syamsul beri kata-kata terakhir, tetapi saya tak boleh kongsi,” katanya.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Pada 6 Jan lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada pengarah filem dan drama, Yusof Haslam, tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.