Internet satelit untuk klinik luar bandar, KKM akan bincang dengan KKD

Internet satelit untuk klinik luar bandar, KKM akan bincang dengan KKD

Talian Internet berasaskan satelit penting dalam menyampaikan perkhidmatan secara maya atau talian video untuk membuat diagnosis bagi pesakit, kata timbalan menteri.

KKM melihat perkhidmatan talian Internet berasaskan satelit perlu disediakan di klinik luar bandar, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
KUCHING:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi mendapatkan perkhidmatan talian Internet berasaskan satelit untuk kegunaan klinik kesihatan di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, talian Internet itu penting bagi petugas kesihatan dalam menyampaikan perkhidmatan secara maya atau talian video bagi membuat diagnosis terhadap pesakit.

“KKM telah terima kertas kerja daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri, kita lihat perkhidmatan talian Internet berasaskan satelit perlu disediakan di klinik kawasan luar bandar.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan KKD bagi membantu KKM menyediakan perkhidmatan ini di klinik kesihatan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Bako di sini hari ini.

Menurutnya, KKM juga berharap ada peruntukan khusus bagi mengatasi masalah klinik kesihatan yang daif di seluruh negara.

“Kita berharap pembentangan bajet 2023 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memberikan peruntukan khusus kepada klinik daif, bukan hanya di Sarawak tetapi di seluruh Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.