
Pihak pendakwaan dan pihak pembelaan bertemu hakim perbicaraan Hakim Collin Lawrence Sequerah di kamarnya sebelum prosiding mahkamah terbuka pagi ini.
Di mahkamah terbuka kemudian, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memaklumkan Sequerah bahawa pihak-pihak berkenaan bersetuju dengan tarikh tambahan untuk pihak pembelaan menjalankan kesnya.
“Tertuduh, yang juga timbalan perdana menteri, hadir di kandang tertuduh,” kata Raja Rozela.
Tidak dimaklumkan di mahkamah terbuka mengapa perbicaraan yang dijadualkan bersambung hari ini tidak dapat diteruskan.
Selain 10 hingga 13 April, tarikh lain bagi perbicaraan termasuk dari 12 hingga 15 Jun, 24 hingga 27 Julai, 1 hingga 3 Ogos, dan 21 hingga 24 Ogos.
Pada 2 Nov tahun lepas, mahkamah menangguhkan perbicaraan kepada 16-19 Jan, 30-31 Jan, 7-9 Feb, 27-30 Mac, 10-13 April dan 15-18 Mei.
Peguam utama pembelaan Hisyam Teh Poh Teik berkata, tarikh perbicaraan yang ditetapkan lebih awal bagi Januari hingga Mac telah dikosongkan.
“Perbicaraan akan disambung semula pada April, dan tarikh Mei kekal. Kami juga telah memasukkan tarikh tambahan dari Jun hingga Ogos,” katanya.
Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi setakat ini.
Zahid didakwa atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.