Badan pemikir garis 4 KPI sektor kesihatan untuk kerajaan

Badan pemikir garis 4 KPI sektor kesihatan untuk kerajaan

Kerajaan perlu mengutamakan penyelesaian masalah kehilangan bakat, kepakaran dan tenaga kerja secara besar-besaran dalam sektor penjagaan kesihatan awam, kata Pusat Galen.

Bagi melaksanakan reformasi dalam sektor kesihatan, kerajaan memerlukan kerjasama kumpulan pesakit, komuniti terjejas, sektor swasta dan organisasi masyarakat sivil, kata Pusat Galen.
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir mencadangkan empat petunjuk prestasi utama (KPI) bagi sektor penjagaan kesihatan yang menurutnya, perlu diguna pakai kerajaan dalam 100 hari pertama memerintah.

Menurut Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, “perhatian segera” perlu diberikan untuk menambah baik infrastruktur sistem penjagaan kesihatan awam, mengekalkan tenaga kerja, meluaskan liputan kesihatan dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, serta menangani pelbagai krisis yang sedang dialaminya.

“Kerajaan mesti terlebih dahulu menyediakan dan membentangkan pelan komprehensif untuk menyelesaikan kehilangan secara besar-besaran bakat, kepakaran dan tenaga kerja yang meninggalkan sistem penjagaan kesihatan awam,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga mesti menangani kesesakan di jabatan kecemasan hospital, di mana diketahui pesakit terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan.

“Kesesakan di jabatan kecemasan menjadi penunjuk bahawa sistem penjagaan kesihatan tidak berfungsi dengan baik.

“Kerajaan mesti membangunkan dan membentangkan pelan tindakan untuk menyelesaikan (masalah ini),” katanya.

Azrul juga menggesa kerajaan menjalankan audit ke atas langkah-langkah berkait dengan keselamatan dan kebakaran di semua kemudahan penjagaan kesihatan awam.

Beliau memetik kebakaran yang melanda unit rawatan rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru pada Oktober 2016, yang mengakibatkan enam pesakit maut dan beberapa lagi cedera.

“Ia juga mesti mengeluarkan laporan daripada jawatankuasa bebas yang bersidang untuk menyiasat kebakaran HSA yang masih tidak didedahkan kepada awam,” katanya.

Akhir sekali, Azrul menggesa kerajaan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022, dengan berkata kegiatan dan produk vape perlu dikawal selia segera.

“(Terbentuknya) kerajaan perpaduan ialah peluang untuk melaksanakan reformasi yang perlu, sukar, dan tertangguh, serta kemajuan dalam isu-isu yang sebelum ini terhalang oleh ketiadaan wawasan mahupun iltizam politik,” katanya.

Beliau berkata, ini memerlukan kerjasama dan rundingan dengan kumpulan pesakit, komuniti terjejas, sektor swasta dan organisasi masyarakat sivil.

Julai lepas, menteri kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin membentangkan RUU tersebut, yang digelar RUU Generasi Penamat (GEG), untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat.

RUU tersebut bertujuan mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok dan produk vape kepada golongan yang dilahirkan selepas 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.