

Mereka yang menyokong menyifatkannya sebagai langkah tepat untuk mengelakkan perpecahan manakala kumpulan menentangnya pula merasakan demokrasi dalam parti itu sudah mati.
Perwakilan dari Sepang, Ahmad Mahadzir Shaffirin Md Som, berkata majoriti menyokong usul dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan kerana tidak mahu perpecahan lebih besar.
“Saya tidak setuju jika ada mengatakan demokrasi akan mati (susulan tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden),” katanya kepada FMT.

PAU hari ini meluluskan usul jawatan presiden disandang Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan tidak dipertandingkan pada pemilihan yang perlu dibuat sebelum 19 Mei.
Pemilihan dua jawatan tertinggi itu menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.
Ketua Umno Bahagian Maran, Shahaniza Shamsuddin, turut senada dengan Mahadzir yang menafikan demokrasi dalam Ummo sudah mati susulan keputusan PAU itu.
Menurutnya, Umno sudah mengikuti proses demokrasi dengan memberi peluang kepada perwakilan untuk mengundi usul berkenaan yang menjadi amalannya sejak sekian lama.

“Usul bukan dari presiden, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tetapi dari bawah. Kita ambil pendekatan undi dan majoriti memilih,” katanya.
Sementara itu, perwakilan dari Tenom, Bobby Balang, yang tidak bersetuju dengan usul itu merasakan demokrasi Umno sudah mati dengan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.
“Bagaimanapun saya terpaksa akur kerana keputusan dibuat semua perwakilan, saya lihat 60% setuju manakala 40% tidak setuju,” katanya.