
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua hari ini, ekoran kekalahan teruk parti itu dalam PRU15 lalu.
“Sebenarnya pada 6 Dis tahun lalu pada mesyuarat Majlis Tertinggi GTA yang mana saya turut hadir sebagai timbalan pengerusi, saya dah maklumkan ketika itu bahawa sentimen dalam kalangan ahli-ahli Pejuang ini supaya Pejuang berundur daripada GTA.
“Walaupun begitu, saya ada sedikit ‘caveat’ bahawa saya nak nanti dulu keputusan rasmi daripada Perhimpunan Agung yang kita selesaikan hari ini,” katanya dalam sidang media.
Pada PRU15, Pejuang yang ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen yang ditandingi.
Bagaimanapun, Mukhriz berkata Pejuang mengambil pendirian kekal terbuka bagi mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana gabungan politik sedia ada bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung, tahun ini.
“Satu jawatankuasa khas akan ditubuh Majlis Eksekutif Pusat Pejuang untuk menilai segala opsyen yang ada…buat masa ini rundingan belum lagi dibuat, berbincang pun secara tidak rasmi.
“Tetapi dalam masa terdekat ini kita akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin daripada gabungan-gabungan yang sedia ada ini untuk kita terokai kemungkinan kerjasama yang boleh kita pupuk dengan mereka sekiranya boleh,” katanya.
Mengulas mengenai strategi PRN akan datang, bekas Ahli Parlimen Jerlun itu berkata Pejuang akan mengetengahkan calon yang dikenali dan disenangi masyarakat setempat selain akan meneliti semula negeri akan ditandingi nanti.