
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, bagi mencapai objektif itu, pihaknya akan melakukan kajian ke atas pasar-pasar usang di seluruh negara dengan memberi keutamaan kepada premis yang lama, supaya ciri-ciri warisannya dapat dikekalkan mengikut akta sedia ada.
“Sebagai contoh, pasar awam bertaraf warisan negara di Taiping yang menjadi kebanggaan Perak sedang dalam pembinaan, dijangka siap tahun depan sempena ulang tahun ke-150,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program “walkabout” sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Besar Ipoh.
“Ia mampu menjadi tarikan pelancong, sebab itu mengambil masa panjang untuk mereka bentuk kerana ada ciri keistimewaan yang kita tidak boleh sewenang-wenangnya hendak robohkan, malah kayu pun kena pilih jenis sama.”
Nga, juga ADUN Kepayang berkata, beliau juga akan melawat pasar warisan yang dikenal pasti, termasuk Pasar Awam Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang dibina pada pertengahan 1960-an dan pernah terbakar pada 2014.
Dalam lawatannya hari ini, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja membaik pulih Pasar Besar Ipoh yang dibina pada 1959.
“Kerja membaik pulih akan dimulakan tahun ini termasuklah bagi kerosakan wayar, lantai dan longkang dan kita akan memastikan perkara asas diutamakan dahulu,” katanya.
“Kemudian kita akan merancang proses menaik taraf secara keseluruhan supaya pasar awam menjadi bertaraf antarabangsa, yang bukan sahaja bersih tetapi mempunyai tarikan (untuk) pelancong, dan peruntukan akan disediakan,” katanya.