Jika nak tahu siapa pencabar “top 5”, umum bila pertandingan, kata Johari

Jika nak tahu siapa pencabar “top 5”, umum bila pertandingan, kata Johari

Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan berkata tarikh pertandingan perlu diumumkan terlebih dahulu.

Ketua Umno Wilayah Persekutuan, Johari Ghani, berkata ahli tidak boleh buat keputusan bertanding atau tidak kalau tarikh pertandingan tidak diumumkan.
PETALING JAYA:
Umno tidak mempunyai undang-undang yang menetapkan mana-mana ahli ingin bertanding pada pemilihan parti perlu membuat pemberitahuan awal, kata Johari Ghani.

Sewajarnya, kata pengerusi Umno Wilayah Persekutuan itu, tarikh pertandingan perlu diumumkan terlebih dahulu.

“Beritahulah tarikh bila, kemudian kita (ahli berminat) datang isi borang,” katanya.

“Jawatan yang ada banyak: presiden, timbalan, naib, selepas itu ahli majlis tertinggi. Buka borang, buka tarikh, jadi orang boleh buat keputusan.”

Johari berkata demikian dalam temubual Malaysia Gazette, “Bukan reset Umno tapi reset pemimpin” malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dan Ketua Penerangan, Isham Jalil, yang diajukan pewawancara.

Ahmad pada Rabu berkata Perhimpunan Agung 2022 yang akan berakhir esok tidak akan memuktamadkan tarikh bagi pemilihan, kerana Umno masih mempunyai tempoh beberapa minggu lagi untuk berbuat demikian.

Umno sebelum ini memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menangguhkan pemilihan selama enam bulan selepas PRU15. Segala pemilihan hendaklah selesai sebelum 19 Mei.

Manakala Isham mencadangkan ahli yang mahu bertanding lima jawatan tertinggi Umno membuat pengumuman secara terbuka.

Johari berkata parti kena tetapkan bila pertandingan diadakan untuk tahu siapa yang berminat.

“Kalau tarikh nak bertanding ni tidak ada, bagaimana kita nak buat keputusan?” soalnya.

Ditanya adakah beliau akan bertanding pada pemilihan kali ini dan apa strateginya, Johari sekadar menjawab: “Letak tarikh dulu. Bila letak tarikh, kita cerita kemudian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.