
Zamri Husin, 36, yang bekerja sebagai tukang cuci berhadapan tiga pertuduhan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan isterinya berusia 55 tahun dengan cara menumbuk belakang tengkuk, menarik rambut, menghentak kepala mangsa pada dinding dan menampar muka mangsa, lapor Harian Metro.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anak tiri dan menantunya masing-masing berusia 30 dan 35 tahun dengan cara menyiku pipi kiri, menumbuk leher, dada dan kepala.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak melebihi RM2,000, jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Perdana, antara 7.30 pagi hingga 4 petang, pada 8 Jan lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dikenakan dengan alasan mempunyai anak bersekolah serta hanya bekerja sebagai tukang cuci.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri, memohon kepada mahkamah agar hukuman berat dikenakan mengambil kira terdapat tiga mangsa.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh jatuh hukum selain ia berjalan serentak.
Terdahulu, pada prosing itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat dengan cara menendang pintu kereta menantunya sehingga mengalami kerugian RM500.
Bagi kesalahan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan.