
Para wakil dari segenap negara yang ditemui mencadangkan cara-cara mengikis politik wang yang dikatakan membelit parti itu.
Nik Mohd Ridzuan Kamaruddin dari Pemuda Indera Mahkota berkata ia mesti bermula dengan ahli sendiri, seperti menolak pemberian wang dalam perebutan jawatan parti.
“Perkara ini sebenarnya peranan kepada setiap ahli parti itu sendiri,” katanya kepada FMT.

Namun muncul pula isu yang mana “rasuah” di mata sesetengah pihak dianggap oleh pihak lain sebagai “ganti” kepada sumbangan dan tenaga.
“Jadi atas sesetengah pihaklah untuk menilai sama ada ianya ‘politik wang’ atau ‘ehsan’ daripada pemberi.”
Sementara itu, Zarina Ahmad Khan dari Wanita Dungun mahu dana daripada parti untuk sayap-sayap peringkat bahagian disalur terus kepada mereka.

Katanya, langkah itu bagi mengelak ketirisan, dan memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasaran.
“Kami di peringkat bahagian mencadangkan dan bersetuju dana itu disalurkan melalui pemimpin sayap masing-masing di setiap bahagian Wanita, Pemuda, Puteri. Tidak boleh hanya diberi kepada ketua bahagian sahaja.”
Setiap bahagian juga perlu melakukan audit, katanya, “untuk nak nampak pengunaan dana politik dalam parti supaya ia tak disalah guna.”
Selain audit, Abdul Nizam Adnan dari Pemuda Jerlun turut menyarankan pemimpin parti tidak memegang jawatan di syarikat berkaitan kerajaan.
“Ia akan mengurangkan risiko politik wang dan salah guna wang,” katanya.

Wartawan veteran, A Kathirasen, dalam kolumnya semalam menulis Umno bergelut dengan politik wang sejak awal 1990-an, malah isu itu hebat dibahaskan pada perhimpunan agung parti itu pada 1996, antaranya oleh presiden ketika itu, Dr Mahathir Mohamad; Ismail Tayib, ketua Umno Jerlun; dan Zahid Hamidi yang ketika itu ketua Pemuda.
Beliau mengulas seruan Timbalan Presiden Mohamad Hasan kepada ahli parti kelmarin, menyeru “bunuh” politik wang kerana ia menyebabkan Umno semakin lemah, dan kalah pilihan raya umum lalu.