Tahanan disyaki terlibat kes dadah meninggal dunia

Tahanan disyaki terlibat kes dadah meninggal dunia

Sebelum kejadian lelaki berusia 47 tahun itu mengadu sakit dan muntah-muntah lalu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Larkin.

Polis berkata lelaki itu ditahan kelmarin dan ditempatkan sementara di lokap sebelum dijadualkan dituduh di mahkamah semalam. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang tahanan lokap di Balai Polis Larkin, Johor Bahru, dilaporkan meninggal dunia, semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata lelaki berusia 47 tahun berkenaan sebelum itu mengadu sakit dan muntah-muntah pada 6.20 pagi, lalu dibawa ke Klinik Kesihatan Larkin untuk rawatan pada 7.45 pagi.

“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan lelaki itu meninggal dunia pada 8.30 pagi.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes berkenaan,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, bedah siasat dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mengetahui punca kematian dan tindakan lanjut.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan kelmarin dan ditempatkan sementara di lokap berkenaan sebelum dijadualkan untuk dituduh di mahkamah semalam.

“Lelaki terbabit ditahan kerana mempunyai rekod orang yang dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 12 rekod berkaitan kes dadah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.