
Nor Azlina Mohamad Yasin, 38, memberitahu FMT, selepas kejadian menimpa anaknya Julai tahun lalu, murid itu seolah-olah “dipulau” guru di sekolahnya di Marang.
“Saya minta guru tidak memulaukan anak saya di sekolah. Anak saya mangsa (sehingga patah kaki), bukan pemangsa. Berilah peluang untuk keadilan ditegakkan.
“Saman ini bertujuan untuk guru lebih berhati-hati dalam mendidik murid dengan berhemah, bukannya guna kekerasan,” katanya mengulas saman difailkan menerusi peguam, Mohd Hazwan Hamidun daripada firma guaman Tetuan Rafaei & Co.
Azlina menamakan guru Kafa, Ahmad Mursyidin Abdullah, 38, (defendan pertama) dan Yayasan Islam Terengganu (defendan kedua) bagi tuntutan ganti secara bersama dan berasingan sebanyak RM410,000 termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta ganti rugi khas.
Ketika ditanya, Azlina memberitahu sehingga kini anaknya mengalami trauma dan tidak boleh melakukan aktiviti lasak, malah terpaksa berulang-alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan susulan.
Menurut peguam mewakilinya, tuntutan sivil bagi anak guamnya dilakukan kerana tindakan defendan pertama mengangkat dan menghempaskan plaintif ke atas kerusi menyebabkan murid itu patah tulang kaki kanan dan keretakan pada bahagian lain.
Sementara defendan kedua, sebagai majikan mempunyai tugas untuk memastikan tenaga pengajar dilantik adalah berkelayakan untuk menjalankan tugas dan kerja mendidik dengan cara baik serta berhemat.
“Walaupun defendan pertama sudah didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Marang pada 12 Okt tahun lalu, kita failkan tindakan sivil supaya anak guam saya mendapat ganti rugi disebabkan kecederaan dialaminya yang membataskan pergerakannya,” katanya.
Susulan saman difailkan itu, mahkamah menetapkan 6 Feb depan untuk sebutan kes.