Kerajaan, Razak fail rayuan kes saman RM5 juta keluarga Altantuya

Kerajaan, Razak fail rayuan kes saman RM5 juta keluarga Altantuya

Kerajaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan Isnin lalu manakala Abdul Razak Baginda pada Selasa.

Model Mongolia Altantuya Shaariibuu dibunuh pada 2006 dalam hutan di Puncak Alam, Shah Alam. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan saman keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita itu pada 2006.

Kerajaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan Isnin lalu manakala Razak pada Selasa.

Peguam Harshaan Zamani yang mewakili keluarga model itu ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan pihaknya telah menerima salinan notis rayuan berkenaan.

“Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 10 April ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin,” kata peguam itu.

Ibu bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta cucu mereka Mungunshagai Bayarjargal selaku plaintif memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 dengan menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar serta Razak dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pada 16 Dis tahun lepas, Hakim Vazeer Alam Mydin Meera yang kini hakim Mahkamah Rayuan membenarkan saman itu dan memerintahkan defendan bersama-sama membayar ganti rugi am, teruk dan teladan RM5 juta kepada keluarga berkenaan.

Hakim turut memerintahkan keempat-empat defendan masing-masing membayar kos RM25,000.

Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.