Elak penunggang agama, Wanita Umno gesa segera bentang Akta Anti Manipulasi Agama

Elak penunggang agama, Wanita Umno gesa segera bentang Akta Anti Manipulasi Agama

Ketua Wanita Umno Bahagian Jerai itu berkata, akta tersebut dapat mengelakkan mana-mana pihak menggunakan nama Islam untuk kepentingan sendiri.

Ketua Wanita Umno Jerai, Norma Awang juga mengecam pihak yang memanipulasi agama untuk memberi persepsi buruk Umno dan Barisan Nasional BN. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Wanita Umno Bahagian Jerai, Norma Awang menggesa Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Manipulasi Agama (AAMA) dibentang untuk dibahas dan diluluskan dalam sesi Parlimen akan datang.

Norma yang mewakili Wanita Umno Kedah berkata, akta tersebut penting bagi menjamin kemurnian Islam selaku agama Persekutuan dan menghalang mana-mana pihak memanipulasi atau menunggang agama untuk kepentingan sendiri.

“Akta ini juga boleh mengelakkan pihak berkepentingan dengan mudah menggunakan nama Islam untuk kepentingan diri dan keuntungan sedikit yang akhirnya menyebabkan imej Islam tercela,” katanya pada perbahasan Perhimpunan Agung Wanita Umno di WTC di sini.

Dalam perbahasan itu, Norma juga mengecam pihak yang memanipulasi agama untuk memberi persepsi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kita harus berpijak di bumi nyata dengan tidak mudah diauta kononnya jika musibah melanda negeri ditadbir BN, itu adalah laknat dan bala dari Allah.

“Sebaliknya jika bencana banjir sebagai contoh mendatangi negeri ‘puak lebai’ dikatakannya ujian dari Allah, justeru perlu redha dan sabar. Adakah ini mewujudkan kekeliruan berterusan dalam kalangan pemikiran umat?”, katanya.

Katanya, demikian juga jika pemimpin ‘puak lebai’ membeli kenderaan mengguna wang negeri dikatakan mensyukuri nikmat sebaliknya jika pemimpin BN menaiki kenderaan dituduhnya hasil samun atau menyakau wang rakyat.

“Kita tidak mahu lagi ada label tudung patuh syariah, tudung tak ikut syariat, hiburan ikut syariat dan hiburan tidak ikut piawaian parti tertentu.

“Kita juga perlu mengetepikan dakwaan kononnya imam dari parti tertentu lebih aulia, parti tertentu lebih Islamik hanya kerana penilaian aspek luaran semata-mata,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.