Polis siasat dakwaan kamera rahsia dalam bilik persalinan

Polis siasat dakwaan kamera rahsia dalam bilik persalinan

Polis mengesan video dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter memaparkan rakaman video di bilik persalinan di sebuah butik pakaian.

Tangkap layar video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter sebelum ia dipadamkan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat laporan mengenai penyebaran video yang didakwa daripada kamera rahsia yang disembunyikan di dalam bilik persalinan wanita di sebuah butik pakaian berjenama di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, pada Isnin lalu pihaknya menerima satu laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Katanya, polis juga mengesan video yang dimuat naik di Twittter yang memaparkan rakaman daripada kamera yang disembunyikan di bilik persalinan butik pakaian berkenaan. Video itu kemudiannya dipadamkan.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian itu berlaku. Perbuatan terbabit adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

“Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Fikri Abdul Manan di talian 013-4149917 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Terdahulu, beberapa pengguna Twitter melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan video yang dirakam di bilik persalinan itu dijual di dalam talian.

Butik pakaian tersebut juga dilaporkan sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.