
Amanullah Kalamia menarik balik permohonan itu selepas jabatan imigresen membebaskan lima anak berusia tujuh hingga 18 itu pada 29 Disember tahun lalu. Isterinya, Khatijah Bashir Ahmad, 35, meninggal dunia ketika dalam tahanan pada 26 Julai tahun lalu.
Lima anaknya berada di pusat penahanan imigresen sejak dua tahun lalu.
Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Amanullah untuk mengemukakan semakan kehakiman terhadap perancangan jabatan imigresen untuk mengusir lima anaknya itu ke Myanmar.
Jabatan itu telah memperoleh perintah penahanan dan pengusiran untuk mereka pada 14 September tahun lalu.
Peguamnya M Ramachelvam berkata, mahkamah menolak hujah pejabat peguam negara bahawa Amanullah tiada locus standi dan tidak boleh memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk keluarganya terhadap perintah ketua pengarah imigresen itu, atas alasan arahan berkenaan tidak tertakluk kepada semakan oleh mahkamah.
Mahkamah berkata, Amanullah akan terkesan dengan teruk sekiranya isteri dan anak-anaknya diusir, seterusnya mempunyai locus standi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman. Mahkamah turut mendapati perintah ketua pengarah imigresen itu boleh disemak oleh mahkamah.