
Perolehan itu sebahagian usaha melengkapkan aset diperlukan tentera udara, “yang sepatutnya kita ada,” kata Menteri Pertahanan Mohamad Hasan kepada pemberita semasa melawat Pangkalan Udara Subang bersama Panglima Tentera Udara, Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Beliau menambah bilangan pesawat yang diluluskan masih kekal 18 buah, dan pihaknya mahu ia dilakukan secepat mungkin selepas melalui proses wajar.
“Kita hendak supaya Jemaah Menteri baharu ini dapat mengabsahkan apa yang diluluskan jemaah terdahulu,” katanya.
Mohamad berkata tentera udara bekerja dengan kekangan dari segi aset berusia yang sepatutnya sudah dilucutkan tauliah.
“Banyak juga yang ada tetapi mempunyai kerosakan,” katanya.
Mohamad menarik perhatian media kepada “kekurangan kuasa tempur” udara, yang menurutnya “amat ketara” berbanding negara jiran yang lebih maju.
“Kita bukan nak bersaing tetapi nak supaya pertahanan negara dalam keadaan siap siaga…kita mesti melengkapkan terutamanya aset-aset utama.”