
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh pada Nov 2022 terus kukuh selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa.
Beliau berkata, kedudukan tenaga buruh terus berkembang pada bulan berkenaan, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja manakala bilangan penganggur berkurangan.
Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2% bulan ke bulan kepada 16.11 juta orang.
“Bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada Nov 2022, dengan pertambahan sebanyak 0.2% bulan ke bulan kepada 16.71 juta orang, sementara kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1% mencatatkan 69.8%,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, beliau berkata, kategori pekerja, yang merangkumi 75.8% daripada jumlah penduduk bekerja, terus mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 0.1% kepada 12.21 juta orang pada Nov 2022.
“Begitu juga, penduduk bekerja sendiri turut berada dalam trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.5% kepada 2.85 juta orang,” katanya.
Sementara itu, mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman dan maklumat dan komunikasi.
Katanya, trend yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan dan pengkuarian.
“Pada Nov 2022, 81.2% daripada jumlah penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.
“Kumpulan ini berada dalam trend penurunan selama 16 bulan berturut-turut, dengan pengurangan sebanyak 0.7% kepada 488,000 orang (Okt 2022: 491,300 orang),” katanya.
Tambahnya, mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 60.6%, manakala mereka yang menganggur lebih daripada setahun adalah sebanyak 6.2%.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia, meningkat sebanyak 2.0% merekodkan 112,900 orang (Okt 2022: 110,700 orang).
Menurutnya, pengoperasian berterusan semua aktiviti ekonomi dan sosial sehingga ke penghujung tahun 2022 membolehkan ekonomi negara terus berkembang pesat.
Justeru, pasaran buruh juga dijangka mampu mengekalkan momentum pemulihan ke arah pasaran buruh yang lebih stabil dan memberangsangkan sejajar dengan perkembangan positif ekonomi semasa, terutamanya pada awal 2023.